Analisa semiotik telah diperkenalkan
oleh Ferdinand de Saussure juga merupakan pengasas semiologi. Manakala Pierce
pula dikenali sebagai pengasas semiotik (Berger, 2000). Menurut Danesi (2004),
kedua-duanya mempunyai persamaan dalam menganalisa berkenaan tanda namun
melalui pendekatan yang berbeza. Merujuk teori Ferdinand de Saussure, kajian
mengenai tanda tidak terkecuali daripada dua perkara iaitu tanda (signifier) dan penanda (signified). Lain pula pendapat bagi Peirce
yang mengetengahkan tiga perkara iaitu ikon, indeks dan simbol (Danesi, 2004).

Peirce mengemukakan tanda adalah sesuatu
yang berbentuk fizik yang dapat dikenali oleh pancaindera manusia khususnya
mata (Ghazali Daimin, 2015). Menurut Ghazali Daimin (2015), Peirce mengatakan
tanda terdiri daripada simbol terjadi hasil daripada kesepakatan, ikon terjadi hasil
daripadi ilmu fizik dan indeks terjadi hasil daripada hubungan sebab dan akibat.
Elemen interpretant atau pengguna
tanda merupakan konsep pemikiran daripada orang yang menggunakan sesuatu tanda
dan tanda tersebut mempunyai satu makna yang ingin disampaikan kepada orang
lain (Ghazali Daimin, 2015). Contohnya, seorang gadis memakai baju kurung menampakkan
dia sebagai simbol gadis Melayu pada pandangan orang ramai.

Menurut Ghazali Daimin (2015), Saussure
mengatakan bahawa penanda dilihat sebagai bentuk atau fizik dapat dikenali
melalui wujud karya seni bina. Petanda dikatakan sebagai makna yang terungkap
melalui konsep, fungsi dan nilai-nilai yang ada di dalam karya seni bina.
Kewujudan elemen semiotik yang diperkenalkan oleh Ferdinand de Saussure ini
merupakan hubungan antara ‘petanda’ dan ‘penanda’ atau kebiasaanya dikenali
sebagai ‘signifikasi’ (Ghazali Daimin, 2015). Semiotik signifikasi merupakan
sistem berasaskan peraturan kesepakatan sosial. Ianya diperlukan dalam
penghuraian erti bagi kategori semiotik. Dalam hubungan berkomunikasi,
seseorang akan menggunakan sign
(tanda) untuk memberikan maksud mengenai objek dan penerima akan memahami tanda
tersebut. Saussure menyebut objek itu sebagai referent iaitu lebih kurang maksudnya seperti yang dinyatakan oleh
Peirce bahawa interpretant adalah
untuk signified dan objek pula
sebagai signifier. Namun perbezaannya
di sini, Saussure mengatakan ‘objek’ sebagai rujukan serta sebagai unsur
tambahan dalam proses penandaan. Contoh yang boleh diberi, seseorang menyebut
perkataan anjing (signifier) dalam
nada marah (Ghazali Daimin, 2015). Sejurus itu, hal tersebut merupakan tanda (signified). Boleh dikatakan, signifier dan signified itu adalah satu persamaan yang tidak dapat dipisahkan
seperti dua sisi dari sehelai kertas (Sobur, 2006).

Menurut Stokes (2003), analisa semiotik
bermula dengan definisi objek analisa dan pengumpulan teks (kumpulan tanda)
yang akan dianalisa. Seterusnya, tanda-tanda yang ada di dalam iklan yang telah
dikaji akan disenaraikan. Analisa semiotik dilakukan terhadap tanda-tanda
tersebut akan meliputi analisa yang terdiri daripada bentuk, warna, gambar dan
tulisan. Pada peringkat seterusnya, hasil analisa tersebut akan dihuraikan oleh
pengkaji sebagai sebuah interpretasi dari teori tanda Peirce.