Dunia semakin maju hari demi hari. Ini
dibuktikan dengan kemajuan teknologi terkini dengan contoh yang paling dekat
yang kita boleh lihat adalah telefon bimbit. Sekurang – kurangnya setiap bulan
pasti ada model terbaru yang akan keluar di pasaran. Contoh lain yang boleh
kita lihat adalah kemajuan aset – aset peperangan setiap negara yang dipamerkan
menerusi hari ulang tahun kemerdekaan negara tersebut. Selain itu, latihan
ketenteraan dan penembakan oleh negara – negara maju seperti Amerika Syarikat,
Korea Utara dan sebagainya juga menunjukkan bahawa teknologi peperangan semakin
dititik beratkan.

 

       Seperti yang kita tahu, aset – aset
ketenteraan negara kita kini telah usang dan kerap kali digunakan untuk latihan
dan pengoperasian. Aset – aset ini sentiasa digunakan dan telah pun berusia
lebih satu dekad. Hal ini merunsingkan anggota yang menggunakan aset tersebut
sama ada aset ini masih relevan dan selamat digunakan ataupun tidak. Tambahan
pula, pihak atasan juga turut sama menanggung risiko jika aset tersebut terus
menerus digunakan untuk menjalankan operasi dan latihan. Antara risiko yang bakal
dihadapi adalah kemalangan yang berpunca dari kegagalan aset tersebut
beroperasi dan juga kerosakan yang dialaminya. Kos pembaikan yang semakin
meningkat dari tahun ke tahun cukup merumitkan keadaan di mana alat – alat
ganti sukar diperolehi. Demi mengurangkan kos selenggaraan, pihak atasan telah
memutuskan untuk menggantikan aset sedia ada demi mengurangkan risiko
kemalangan dan juga kos pengoperasian aset tersebut.

       Sebagai
sebuah negara maritim, TLDM perlu menentukan kedaulatan perairan negara
sentiasa terjamin. Kita amat memerlukan armada yang berkeupayaan melaksanakan
pelbagai peranan bagi menangani cabaran dan isu maritim secara berkesan. Ketika
ini, kapal-kapal TLDM telahpun menjangkau usia antara 30 ke 40 tahun. Mengambil
kira keadaan itu, TLDM harus menggunakan pendekatan baru dan berfikir di luar
kotak supaya jurang keupayaan TLDM tidak ketinggalan. TLDM
telah merancang program transformasi armadanya 15 To 5 dengan mengurangkan
kelas kapal daripada 15 ke 5 sahaja. Program ini bertujuan untuk memantap
armada di samping mengurangkan kos selenggaraan. Buat masa ini TLDM memiliki 15
kelas kapal daripada 7 negara berlainan iaitu Korea Selatan, Jerman, Perancis,
Itali, Sweden, United Kingdom dan tempatan. Lima kelas kapal yang bakal mengisi
armada TLDM adalah kelas LCS (Littoral Combat Ship), kelas NGPV (New
Generation Patrol Vessel), kelas LMS (Littoral Mission Ships), kelas
MRSS (Multi-Role Support Ship) dan kelas kapal selam.

       Kapal latihan, KD Hang Tuah bakal
menjadi kapal pertama ditamatkan perkhidmatan di bawah program ini dan
digantikan dengan kapal latihan yang lain iaitu Kapal Latihan Gagah Samudera
dan Kapal Latihan Teguh Samudera. Kapal kelas Laksmana yang terdiri daripada KD
Laksmana Hang Nadim, KD Laksamana Tun Abdul Jamil, KD Laksamana Muhammad Amin
dan KD Laksamana Tan Pusmah akan menyusul selepas itu. Perlucutan perkhidmatan
kelas Laksamana akan dibuat satu demi satu seiring dengan kemasukkan satu
persatu kapal kelas LMS. Begitu juga dengan nasib kapal penyapu ranjau (mines
counter-measure vessels) kelas Mahamiru. Giliran penamatan tauliah dibuat
berdasarkan faktor jumlah hari berada di laut dan kos penyelengaraan sesebuah
kapal.

       Sebanyak 18 buah LMS akan menggantikan
beberapa kelas kapal dalam TLDM. LMS ini bakal melaksanakan tugasan rondaan ,
kawalan sempadan dan seumpamanya. Oleh kerana memiliki bilangan kapal
terbanyak, sudah pasti kos pembinaan, penyelenggaraan dan operasi LMS akan
dipastikan terendah. Dikatakan harga siling setiap LMS ini ditetapkan pada RM
200 juta sahaja.
Pada tanggal 01 November 2016,Malaysia sudah menandatangani perjanjian dengan
China untuk pembinaan 4 buah LMS. 2 buah akan dibina di Malaysia dan 2 buah
lagi akan disiapkan di China. Kapal pertama akan sedia untuk digunakan dalam
tempoh 24 bulan. Korvet Type 056 milik People’s Liberation Army Navy(PLAN)
memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki oleh TLDM dan boleh menjadi asas pembinaan
LMS ini. Berharga sekitar 50 juta Dolar Amerika (kira-kira RM 200 juta),
optimum beroperasi di kawasan ‘green-water’ (kawasan pesisir pantai) dan
mampu menjalankan tugas terhad di kawasan laut terbuka serta berkebolehan
menjalankan pelbagai misi.

      Selain daripada kelas LMS, kelas MRSS
turut menikmati kapal-kapal baru dengan penggantian sepenuhnya KD Sri Indera
Sakti dan KD Mahawangsa. Kedua-dua kapal ini telah berusia melepasi 30 tahun
dan menanggung bebanan kerja yang berlebihan. Siapa boleh lupa tragedi yang
menimpa KD Sri Inderapura dimana kapal terbesar dan terberat dalam inventori
TLDM ini telah musnah terbakar pada tahun 2009 dan sehingga kini tiada
pengganti.Tiga lagi kelas akan menerima tambahan daripada jenis kapal yang
sedia ada. NGPV diramalkan menokok 12 buah kapal kelas Kedah yang dibina
daripada cetakan biru MEKO 100 dengan ciri-ciri tambahan. Perancangan awal TLDM
sekitar 1996 adalah untuk membina dan memiliki 27 buah kapal kelas Kedah.
Disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, hanya 6 buah kapal
berjaya dibina dan kerajaan membatalkan terus program NGPV ini.

 

       Projek terhangat masakini TLDM adalah
LCS yang kini sedang dibina di limbungan Boustead Heavy Industries Corporation
(BHIC), Lumut Perak. Kapal pertama bakal diterima pada tahun 2019 iaitu kapal
KD Maharajalela. Sebagai sebuah kapal tempur permukaan tercanggih, TLDM
merancang menambah 6 buah lagi LCS tidak termasuk 6 buah yang sedang dan akan
dibina. LCS ini dibina berasaskan kapal korvet kelas Gowind.
Sebagai aset tempur bawah permukaan ternyata 2 buah Scorpene tidak mampu
meliputi keluasan perairan negara yang luas. Oleh itu TLDM merancang menambah 2
buah lagi Scorpene. Mungkin antara kelas terakhir yang akan melengkapkan
transformasi ini. Bukanlah rahsia kehadiran kapal selam mampu menggentarkan
mana-mana armada laut walaupun dibarisi oleh kapal pengangkut pesawat (aircraft
carrier), kapal pemusnah (destroyer) mahupun kapal selam penyerang (attack
submarine). Ibarat nila yang mampu merosakkan sebaldi susu.

       Tidak dapat dipastikan program 15 To 5
(15-5) ini akan melangkaui berapa Rancangan Malaysia sebelum terlaksana sepenuhnya.
Kerangka masa ini banyak dipengaruhi oleh faktor kewangan kerajaan. Kira-kira
RM 30 bilion diperlukan untuk program transformasi ini lengkap sepenuhnya. 4
buah LMS yang bakal dbina akan menggunakan dana TLDM sendiri. Mugkin diambil
daripada peruntukan dan simpanan sedia ada TLDM. Faktor politik dalaman dan
geopolitik rantauan turut memberi kesan kepada pelaksanaannnya. Tatkala ramai
risau dengan kedudukan China di Laut China Selatan, Malaysia telah membeli
kapal permukaan daripada negara tersebut untuk memenuhi aspirasi 15 To 5 ini. Proses transformasi TLDM
kini perlu dilihat dari tiga aspek yang berbeza iaitu dari segi hardware
melibatkan aset-aset yang semakin canggih. Kedua aspek software dimana
penekanan diberi kepada elemen profesionalisme, prestasi serta dasar-dasar dan
doktrin yang sejajar dengan peredaran masa. Ketiga ialah humanware iaitu
elemen modal insan Navy People yang bukan sahaja melibatkan anggota TLDM tetapi
lebih menyeluruh termasuk veteran TLDM. Walaupun telah menamatkan perkhidmatan,
kita masih anggap mereka sebahagian daripada Navy People. Sumbangan serta
pengorbanan mereka tidak boleh dinilai dan amat dihargai oleh perkhidmatan
TLDM. Aspek pembangunan modal insan sangat ditekankan dalam TLDM. Setiap Navy
People ada peranan masing-masing dan sumbangan mereka harus dihargai dan
diiktiraf. Pada masa sama, kita perlu sentiasa mencabar kebolehan mereka dalam
mempertingkatkan prestasi Navy People.

       Pelbagai
cabaran yang perlu dihadapi dalam menjayakan Transformasi 15 to 5 ini.
Antaranya ialah anggota Navy People perlu bersedia dari segi fizikal dan mental
dalam menerima kapal – kapal baru yang memerlukan tenaga – tenaga mahir untuk
mengoperasikan kapal tersebut. Anggota TLDM perlu dihantar untuk menjalani
kursus lanjutan untuk mempelajari penggunaan sistem – sistem baru yang terdapat
di kapal tersebut terutama kapal LCS dan kapal LMS. Selain itu, anggota TLDM
perlu berfikiran minda kelas pertama seiring dengan perubahan dan Transformasi
Armada yang berlaku sekarang. Tambahan pula, pihak pengurusan perlu
meningkatkan lagi pengambilan anggota – anggota baru kerana perjawatan baru
telah dibuka di unit – unit baru. Pengambilan anggota baru perlu seiring dengan
kepakaran yang diperlukan di kapal – kapal baru. Kesannya kita tidak akan nampak
dalam sehari dua. Namun, ia memerlukan masa yang panjang untuk merealisasikan
transformasi ini. Hasilnya, TLDM akan memperolehi tenaga kerja yang mahir dan
berkarisma tinggi dalam menjalankan tugas masing – masing.

     Kesimpulannya,
untuk menjadi negara yaang hebat dari segi aset peperangan adalah mustahil
untuk jangka masa singkat. Tetapi dengan kehadiran kapal – kapal baru, Malaysia
boleh menjadi sebuah negara yang digeruni oleh negara – negara di rantau Asia
Tenggara kerana memiliki aset peperangan yang canggih.

 

Sumber Rujukan:

1.   
TLDM perkenal program ’15 to 5′ untuk
lebih efektif – Nasional – Utusan
Online-m.utusan.com.my>berita>perhttps://www.google.com/url?sa=t=web=http://m.utusan.com.my/berita/nasional/tldm

2.   
wiraArjuna: Malaysia : TLDM Program
Transformasi 15 To 5 (15-5) –
http://wiraarjuna.blogspot.my/2016/11/malaysia-tldm-program-transfomasi-15.html?m=1